Sumber Pendapatan Tambahan Bagi Pemandu e-hailing

Sumber pendapatan tambahan bagi pemandu e-hailing


Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada bulan Mac 2020, sumber pendapatan bagi kebanyakan pemandu e-hailing telah terjejas. Ini kerana orang awam tidak dibenarkan keluar daripada rumah tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Orang awam hanya dibenarkan keluar dengan alasan yang kukuh dan mempunyai surat pengesahan daripada pihak tertentu. Ramai pemandu e-hailing tidak memperolehi pendapatan disebabkan tiada permintaan daripada penumpang.

Syukur dengan keadaan yang semakin pulih dan sesetengah bidang perniagaan dibenarkan beroperasi semula termasuk e-hailing. Kerajaan telah mengumumkan bahawa penumpang boleh menaiki kenderaan e-hailing tapi perlu memenuhi syarat-syarat tertentu iaitu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Namun ia masih tidak mendapat respon yang baik, ramai orang masih ragu-ragu untuk menaiki kenderaan awam termasuk Grabcar.

Sumber pendapatan terjejas

Ia akan memberi kesan teruk dan menjejaskan sumber pendapatan utama bagi pemandu e-hailing dengan jangka masa yang panjang. Walau bagaimanapun, pemandu e-hailing telah mendapat Bantuan Prihatin daripada kerajaan iaitu RM500 bagi mereka yang layak menerimanya. Namun ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah kewangan pemandu e-hailing.

Disebabkan itu, ramai telah mencari alternatif ataupun penyelesaian lain untuk mengekalkan pendapatan mereka. Ada di antara mereka menukar menjadi rider seperti Grabfood, FoodPanda, Lalamove, MrSpeedy, Hungry dan lain-lain. Mereka akan mendapat tempahan atau 'job' yang lebih banyak berbanding Grabcar yang dipandu mereka sebelum ini. Yang penting ada job, ada duit la. Tidak seperti Grabcar tunggu memanjang saja, buang masa untuk mendapat cuma satu(1) job dalam satu hari.

Lagipun rider seperti yang tersebut cuma perlu mahir untuk menunggang motosikal dan boleh bertahan di bawah pancaran matahari yang panas. Tidak sama duduk di dalam kereta yang berhawa dingin, kena bersedia mandi basah ketika hujan lebat. Ia agak bahaya berbanding dengan memandu kereta e-hailing sebelum ini.

Tapi demi mencari pendapatan harian, tiada banyak pilihan untuk dibuat? Semakin ramai telah menyertai syarikat industri penghantaran tersebut sama ada GrabFood, FoodPanda dan Lalamove. Ia boleh dilihat semakin ketara di jalan raya, banyak rider yang membawa kotak penghantaran warna hijau GrabFood, merah jambu FoodPanda dan oren Lalamove. Trend ini akan semakin meningkat dalam masa akan datang, makin ramai orang akan menyertai 'pasukan' penghantaran makanan dan bungkusan.

Program yang menarik perhatian

Lalamove juga mendapat sambutan baik bagi mereka yang memandu kereta, van atau lori. Mereka digalakkan supaya menampalkan iklan Lalamove pada sisi kiri dan kanan pintu kereta. Duit insentif bagi iklan Lalamove tersebut akan dibayar sebanyak RM100 sebulan (jika tidak silap) bagi mereka yang berjaya berdaftar dan menampal iklan pada kereta.

Ia merupakan satu program yang menarik juga pada masa yang tepat seperti sekarang. Ramai yang hilang kerja dalam tempoh ini telah memilih untuk memandu e-hailing (Grabcar, MyCar) atau penghantaran makanan (GrabFood, FoodPanda) dan bungkusan (Lalamove, MrSpeedy).

Namun ia bukan satu penyelesaian jangka panjang bagi mereka yang mempunyai beban kewangan yang berat. Sekurang-kurangnya ia dapat memenuhi keperluan seharian dan membantu sedikit sebanyak bagi mereka yang hilang punca pendapatan dalam tempoh tersebut.

Adalah digalakkan supaya menjadi seorang part-timer untuk rider, sambil itu mencari kerja yang lebih sesuai dengan diri kita.

Di sini, saya berharap dan berdoa supaya semua dimurahkan rezeki dan berhati-hati di jalan raya terutamanya mereka yang menunggang motosikal. Cari duit tu penting tapi nyawa dan keluarga anda juga perlu disayangi.

Post a Comment

0 Comments